Sunday, March 22, 2009

Fertigasi

Perkataan fertigasi berasal daripada perkataan fertilization dan irrigation. Dalam fertigasi, proses pembajaan dan pengairan diberikan serentak kepada tanaman. Fertigasi tergolong dalam kumpulan hidroponik iaitu pengeluaran tanaman tanpa menggunakan tanah. Secara umumnya, hanya beberapa jenis tanaman sahaja yang sesuai ditanam menggunakan kaedah fertigasi, antaranya tomato, cili, timun, terung, melon dan strawberi.


Dengan menggunakan kaedah fertigasi, pengusaha boleh mengelakkan tanaman mereka daripada dijangkiti penyakit akar seperti Pythium, Fusarium, Rhizoctonia dan penyakit layu bakteria yang kebanyakannya dibawa oleh tanah. Selain daripada itu, tanaman tersebut dapat ditanam di mana sahaja asalkan cukup cahaya untuk tujuan fotosintesis dan mempunyai tempat untuk meletak polibeg.

Kaedah titisan yang digunakan dalam sistem fertigasi mampu membekalkan air dan larutan baja kepada tanaman dengan berkesan tanpa pembaziran. Air dan larutan baja diberikan secara berkala setiap hari. Larutan baja yang mengandungi segala nutrien untuk keperluan peringkat pokok diberikan terus ke akar tanaman.

Teknologi sistem fertigasi ini paling praktikal dibuat di bawah Struktur Pelindung Hujan (SPH) untuk mengelakkan tanaman yang ditanam tidak mudah dijangkiti oleh sebarang penyakit sama ada penyakit daun, pucuk dan buah yang disebabkan oleh percikan hujan. Selain daripada melindungi tanaman daripada jangkitan penyakit, SPH juga dapat mengelakkan larutan baja yang diberikan kepada pokok menjadi terlalu cair akibat air hujan dan mengakibatkan pertumbuhan pokok terjejas dan hasil merosot.

SISTEM FERTIGASI

fertigasi

Alatan Fertigasi

Untuk membentuk sistem fertigasi, beberapa peralatan diperlukan.

1. Penitis
2. Pam
3. Tangki
4. Penapis
5. Alat pengatur masa
6. Polipaip

Selain daripada itu, EC meter juga diperlukan untuk mengukur kandungan baja agar bersesuaian dengan tahap tumbesaran pokok.

Media Fertigasi


Fertigasi adalah daripada keluarga hidroponik. Mengikut takrifan hidroponik, pokok diberi nutrien dan air tanpa menggunakan tanah. Oleh itu, dalam sistem fertigasi, medium yang mudah dicari dan murah akan digunakan di dalam sistem. Paling banyak digunakan oleh pengusaha tanaman sistem fertigasi adalah habuk sabut kelapa atau sekam bakar. Selain daripada itu, medium lain yang boleh digunakan adalah pasir, batu kerikil granit, perlite, vermiculite dan maidenwell diatomite.

Sebaik-baiknya, campuran medium seperti habuk sabut kelapa dan juga sekam bakar (1:1) digunakan untuk memberi pengudaraan dan juga sebagai sokongan kepada akar untuk berpaut di dalam polibeg. Tetapi penggunaan habuk sabut kelapa sahaja atau sekam bakar sahaja juga diamalkan oleh sesetengah pengusaha bergantung kepada kawasan, memandangkan ada sesetengah kawasan yang tidak mempunyai habuk sabut kelapa dan ada sesetengah kawasan tidak mempunyai sekam bakar.

Baja Fertigasi

Dalam sistem fertigasi, larutan baja perlu diberikan kepada pokok sekerap mungkin kerana medium yang digunakan tidak mempunyai nutrien.

Pemberian baja perlu diberikan mengikut keperluan pokok untuk mengelakkan pembaziran. Larutan baja yang diberi hanyalah untuk kegunaan pokok dari sesi pertama pemberian baja ke sesi ke dua pemberian baja dalam hari yang sama.

Kandungan Baja Fertigasi

1. Nitrogen
2. Fosforus
3. Kalium
4. Sulfat
5. Magnesium
6. Mangan
7. Ferum
8. Kuprum
9. Zink
10. Boron
11. Ammonium
12. Molibdenum
13. Natrium
14. Kalsium


Struktur Pelindung Tanaman

Penggunaan struktur pelindung tanaman (SPT) atau dikenali juga sebagai struktur lindungan hujan dapat memberikan hasil yang optimum kepada tanaman fertigasi yang diusahakan.

Struktur pelindung tanaman dapat melindungi tanaman daripada terkena hujan dan mengakibatkan pokok dijangkiti kulat. Ini dapat mengurangkan penggunaan racun kulat pada tanaman. SPT ini dapat menjamin pengeluaran hasil yang optimum kerana setiap pokok mendapat air dan baja yang mencukupi walaupon hari hujan.

Jika system fertigasi yang tidak menggunakan SPT, semasa musim hujan, air hujan akan bercampur dengan air baja di dalam polibeg dan mengakibatkan kandungan baja di dalam media tanaman menjadi cair. Kecairan air baja ini akan mengakibatkan tanaman tidak dapat nutrient yang mencukupi dan pengusaha juga akan mengalami kerugian kerana pembaziran baja serta mendapat hasil yang kurang pada musim hujan.

Asasnya struktur pelindung tanaman diperbuat daripada besi dan atap polietina lut sinar. Tujuan menggunakan atap polietine lutsinar kerana ianya tahan lama dan membenarkan cahaya melaluinya secara terus. Dengan ini pokok dapat melakukan proses fotosintesis kerana mendapat cahaya yang cukup.

Terdapat pelbagai bentuk SPT. Antara bentuk SPT yang terkenal adalah bentuk terowong. Bentuk ini membolehkan atap plastic yang dipasang lebih kukuh dan menggalakkan cahaya matahari masuk secara optimum.
Ada juga SPT yang dipasang jaring kalis serangga. Penggunaan jaring kalis serangga dapat mengelakkan tanaman daripada serangan serangga dan tempias air hujan. Tetapi penggunaan jaring ini akan mengakibatkan suhu di dalam SPT panas dan pengusaha terpaksa melakukan pendebungaan berbantu pada tanaman kerana ketiadaan serangga.

Jika dilihat pada projek-projek fertigasi yang dijalankan oleh pengusaha di Malaysia, kebanyakan mereka tidak membina SPT kerana kos pembinaan SPT yang mahal. Dengan itu pengusaha terpaksa menggunakan racun kulat dan serangga untuk melindungi tanaman mereka daripada serangan penyakit.


No comments:

Post a Comment